MERDEKA!!!MERDEKA!!!Merdeka!!!
Lantas letusan bunga api memecah gelap langit malam. Anak muda masih lagu gembira melaungkan kata semangat Merdeka, tak kurang juga yang berdua dua, yang ramai kawan pasti berkumpul bersama. Laki perempuan himpun semua,gelak ketawa, bertepuk bermesra. Si jejaka melihat
dara cantik jelita lantas berahi gelodak di jiwa. Awalan cumbuan di muka, tak memuas nafsu tangan meraba, dalam kerasukkan minta semua perkara keji dicuba.
Usai sambutan sampah merata, ada rosak harta, ada yang hilang kereta, alamak!! Ada yang tertangkap berdua bersama, ada yang tertangkap mabuk separuh gila, semua cerita terpampang Di muka akhbar, ADA yang rasa gusar, ada yang masih tak sedar. Yang sedar, mata menjadi bundar, rasa marah berkobar-kobar, lantas suara lantang dilontar
Masyarakat REMAJA sekarang bermasalah!!! INI SEMUA SALAH IBU BAPA tak mendidik anak-anak mereka.
Ibu bapa tersentak kenapa mereka dikata punca, lalu menuding mencari mangsa, INI SEMUA SALAH GURU-GURU, apa mereka buat di sekolah?? Kami serahkan anak kami untuk belajar.
Guru berpaling seakan hairan, kenapa guru dijadikan sasaran??lalu berdiri mempertahankan hak, kerana terasa maruah diinjak. INI SEMUA SALAH MASYARAKAT DILUAR SANA, kami sedikit, kami mendidik pendidikan dan pelajaran, mereka baik di sekolah, diluar mereka bermasalah, kalian masyarakat tengok sajakah???
Masyarakat gusar tanpa bicara, mencari ayat membidas kata,lalu ini sasaran dijumpa, INI SEMUA SALAH KERAJAAN, menganjurkan program tak berguna, peraturan tak berjalan, penguasa entah kemana. Sebab itu mereka tak gentar, bagi mereka segala noda bukan dosa.
Kerajaan terkejut seakan tak percaya, segalanya sudah dibuat bukan untuk bala. Walhal sudah dinasihat unit agama. Lantas lantang berkata INI SEMUA SALAH REMAJA ITU SENDIRI, kami membuat program perpaduan, program kesedaran. Mereka yang memilih untuk berbuat durja, jalan yang gelap tega kesana.
Sipesalah sukar mengaku silapnya, alasan dicari bebas diri hendaknya. Tidak hirau lagi siapa siapa, INI SEMUA SALAH MAK DAN AYAH, sibuk bekerja tak hiraukan saya, orang gaji dijadikan penjaga, mak ayah pun perangai serupa. Kami mencontohi apa di depan mata.
56 tahun merdeka, masih belum jumpa penghujung lagu bangau oh bangau, mungkin dialog dahulunya berbeza, mungkin juga tiada, namun lagu bangau oh bangau dicipta mesti ada sebabnya. Adakah dialog yang sama pada merdeka akan datang, atau langkah berubah perlu dipampang.
Jika mahu lihat Negara bangsa di masa depan, lihatlah anak REMAJA yang dibesarkan. Mahu buluh yang rimbun meneduh, awalkan lentur jangan mengeluh, sedangkan batu pon boleh lekuk, titiskanlah ehsan teruskanlah pupuk. Sekarang bukan masa menuding, tapi masa untuk berganding.
Sekian
Ahmad Asyraf Mohamad Najimudin
Mereka yang bakal mentadbir negara, didik mereka sebaiknya |
No comments:
Post a Comment