...السلام عليكم
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.. Tiada lagi yang selayaknya untuk dipuji oleh sekalian makhluk didunia melainkan hanya pada yang Maha Pencipta. Segala yang wujud di langit, di bumi dan yang ada di antaranya semuanya terjadi atas Kuasa-Nya yang melebihi dari segala. Firman Allah swt, maksudnya :
" Sesungguhnya urusan-NYA apabila Dia menghendaki sesuatu Dia hanya berkata kepadanya : 'Jadilah!' Maka jadilah sesuatu itu."
(surah Yaasin : 82)
Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih lagi diberi kesempatan untuk merasai nikmat kehidupan, menghirup udara yang bersih, dan masih berkesempatan untuk beribadah dan melafazkan kata taubat kepada Yang Maha Esa, Allah swt. Alhamdulillah... Bersyukurlah.. :)
InsyaAllah, untuk entry saya kali ni saya nak
kongsi serba sedikit mengenai hakikat sebenar kita yang bergelar 'makhluk' ciptaan Allah swt. Jadikan perkongsian saya kali ini sebagai nasihat dan motivasi untuk kita teruskan perjuangan sebagai tentera Allah swt. Allah bantu, PASTI!!
kongsi serba sedikit mengenai hakikat sebenar kita yang bergelar 'makhluk' ciptaan Allah swt. Jadikan perkongsian saya kali ini sebagai nasihat dan motivasi untuk kita teruskan perjuangan sebagai tentera Allah swt. Allah bantu, PASTI!!
Kita hanyalah ciptaan dari Pencipta Agung iaitu Allah swt untuk beribadah kepada-NYA. Bilamana dikatakan hanya ciptaan, mana mungkin ciptaan itu akan sama, waima melebihi kesempurnaan penciptanya. Pastinya tak mungkin sempurna, ada kekurangannya supaya ciptaan itu sentiasa berharap dan meminta pertolongan dari-NYA. Namun setelah dicipta, tidak pula mereka dibiarkan hidup terkontang kanting tanpa petunjuk jalan yang sebenar. Di utuskan Nabi dan Rasul sebagai 'juru pandu' dalam menjalani track kehidupan yang sebetulnya. Sebagai contohnya Allah utuskan Nabi Hud kepada kaum 'Ad, Nabi Soleh untuk kaum Thamud dan sebagai 'juru pandu', ikutan buat kita ummat akhir zaman Allah telah utuskan khatamul anbiya' Muhammad saw.
Firman Allah swt, maksudnya :
" Demi sesungguhnya, pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik pada hari akhirat, serta menyebut dan banyak mengingati Allah ketika susah dan senang."
(surah al-Ahzab : 21)
Setiap dari kalangan manusia itu pastinya pernah melakukan dosa dalam hidup mereka, termasuklah saya sendiri. Itu tak dapat nak dinafikan lagi oleh sesiapa. PASTI... Namun, ketahuilah sebaik-baik orang yang berdosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah swt. Apabila kita sedar dan berusaha bangkit daripada dosa, sebenarnya kita adalah yang terbaik dalam kalangan manusia. Ini kerana, kita termasuk dalam kalangan golongan yang dicintai Allah swt. Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 222 yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah begitu mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri."
Lihat pula kecintaan Allah kepada hamba-hambaNYA yang dirakamkan dalam surah Yusuf, ayat 87 yang bermaksud :
" Jangan kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir."
Seterusnya, sebagai seorang Muslim juga sebagai makhluk kepada Pencipta yang sama, jangan pula sekali-kali kita memandang rendah dengan kedudukan orang lain apatah lagi menghina. Sekalipun mereka bukanlah seorang Muslim yang terpilih seperti kita. Jika mungkin wujud sedikit salah faham, jangan pula mulut menghambur kata dosa, gerak tubuh bertindak mengikut nafsu rasa. Sabar, maafkanlah, doakan semoga dihadiahkan hidayah kepada mereka dari yang mencipta hati mereka. Kita layak untuk menghukum mereka, siapa kita untuk menghukum sedang mereka juga makhluk ciptaan Allah sama seperti kita. Cuma bezanya hanya mungkin kerana agama, bangsa, pangkat atau warna kulit. Astaghfirullah..
Saya datangkan disini suatu kisah berkenaan seorang alim.
Pada suatu hari dia berjalan, kemudian terlanggar seorang Nasrani. Semasa terlanggar, orang alim itu berkata, " Cis, ahli neraka!" Mendengarkan hamburan itu, orang Nasrani itu berasa marah. Dia berkata, " Apakah kamu yang memegang neraka? Saksikan bahawasanya aku ini naik saksi bahawa Allah itu Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Dia, dan Muhammad itu rasul-NYA." Kemudian, orang Nasrani itu bergerak meninggalkan orang alim tersebut.
Orang alim itu meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan tersebut dia melalui sebuah rumah, dan keluar dari rumah itu seorang gadis yang cantik hingga memikat hatinya. Dia segera bertemu dengan ayah gadis itu, dan meminta dikahwinkan dengannya. Rupanya, keluarga itu adalah keluarga Nasrani. Ayah kepada gadis itu berkata, "Sekiranya kamu mahu mengahwini anakku, kamu perlu masuk menyertai agamaku ini, dan berkerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan."
Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan gadis anak keluarga Nasrani tadi, tanpa sedar, lelaki alim tadi bersetuju. Pada suatu ketika, lelaki Nasrani yang sudah memeluk Islam tadi melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tersebut yang sedang mengembala khinzir.
"Apa yang sudah berlaku kepada kamu, wahai Muslim?" Orang alim tadi menjawab. "Kerana aku menghinamu, Allah menukarkan kedudukan kita."
Demikianlah kisah buat ingat-ingatan kita bersama. Allah Maha Kaya, Dia tahu segalanya, yang mana baik dan yang mana buruk buat hamba-hambaNYA. Dia Maha Tahu tahap kondisi setiap dari diri kita ini. Justeru Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 186 yang bermaksud :
" Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) berkenaan Aku, beritahu kepada mereka, ' Sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka, Aku perkenan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.'"
Alhamdulillah, setakat ni dulu rasanya perkongsian dari saya dalam entry untuk kali ni. Semoga dengan segala apa yang telah cuba saya ketengahkan dalam entry kali ni dapatlah kiranya sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat sahabta-sahabat saya yang sentiasa bersama disini dalam memotivasikan diri untuk terus kita sama-sama berjuang untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa dicintai dan bersyukur.
Akhir sekali, mohon diampunkan segala salah dan silap saya dalam sepanjang saya berkongsi bersama kalian disini, andai ada tersalah kata, atau mungkin wujud tingkah yang menjentik rasa. Mohon segalanya dimaafkan segalanya. Wallahu a'lam... :)
Saya yang disini menyampaikan tinta kepada kalian,
Tidak pula bermakna saya lah yang terbaik antara kalian,
Mungkin juga saya lebih teruk berbanding tuan,
Hanya cuba menyampaikan peringatan buat diri juga taulan,
Moga Allah pandang sebagai kebaikan,
Untuk dijadikan ia sebagai bekalan,
Dibawa saat diri menghadap Tuhan,
Sama-sama kita doakan...
bergeraklah menuju kehadapan, jangan berpatah kebelakang.. |
No comments:
Post a Comment