Mencari sesuatu?

Saturday, 2 August 2014

Perjalananku.. "KEMBARA"

Assalamualaikum..


Dengan Nama Allah
Yang telah menghidupkan jua mematikan aku..

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah dan kurnia-Nya sehingga kini diri ini masih lagi diberi peluang untuk terus menghirup udara segar di muka bumi ini dengan nikmat kehidupan yang penuh melimpah-ruah.

Hingga ke masa ini, detik ini, saat ini, saya masih lagi bisa menulis, mencoretkan kata-kata, melakar puisi hati, mengekspresi rasa diri, membuka lapangan untuk sama-sama kita berkongsi, syukur Allah swt masih memberikan saya peluang untuk terus mengembara mencari 'sesuatu' disini.

Umumnya, permulaan kita semua sama. Cuma hanya yang tinggal, tentang bagaimana kita dibentuk setelah lahir, bagaimana kita membentuk setelah mencapai baligh. Semuanya bergantung, dan itu lah yang menjadikan antara kita menjadi sedikit berbeza, namun masih lagi sama dalam erti kembara mencari redha yang Maha Esa selaku hamba yang sentiasa lemah juga hina.

Puisi ini mungkin sebahagian besarnya mengenai diri saya, namun mungkin juga sebahagian besar cerita kita
hampir sama. Kembara perjalanan kita dalam haluan tujuan yang utama, mencari redha pencipta, Dia Tuhan yang Maha Esa. Jadi, saya pahatkan puisi 'Kembara' dilaman ini agar dapat sama-sama kita kongsi cerita sisa-sisa perjalanan kita di dunia ini ke arah menuju pengakhiran yang sentiasa diingini, Husnul Khatimah yang dihajati. Semoga dipermudahkan segala urusan kita di dunia ini juga di akhirat kelak. Amiin. Semoga pekongsian ini juga bermanfaat untuk kita semua. Terimalah, 'Kembara'... ;)


Kembara ku tidak jauh..
Hanya disini masih rapuh;
Masih mencari akar agar ampuh;
Sedang melakar tapak biar kukuh;
Disinilah petak mula aku berkayuh..

Jalan ini ku pilih pasti..
Kala hidup disini juga mati;
Haluan yang ku kira dirahmati;
Tujuan perjalanan sarat penuh erti;
Disini ku bermula mencari yang hakiki..

Kembara ku tidak jauh..
Dimedan fana ini aku bersimpuh;
Melamar damai kental tak luruh;
Perjalanan hemah elak bermusuh;
Semampu setia rendah tidak angkuh..

Saat suasana sekitar ku aman..
Ada antara saudaraku ditimpa ujian;
Dibedil penginapan dibunuh tanpa kasihan;
Namun jiwa masih kental dengan IMAN;
Percaya Allah pasti hulur pertolongan;
Andai aku disana apa mampu aku bertahan..?

Kembara ku tidak jauh..
Langkah bertapak ku cuba asuh;
Bertatih lemah kadang terjatuh;
Matlamat disemat tidak sebagai jaguh;
Anganku hanya untuk sebenar 'Abduh..

Aku disini tidak kekal..
Hanya persinggahan sementara menunggu ajal;
Sisa hidup berbaki ku isi penuh amal;
Berharap tsabat berjuang tak leka berkhayal;
Menjadi yang benar bersyukur kerna berakal..

Kembara ku tidak jauh..
Masih berlegar menanti disuruh;
Tidak selincah helang megah berparuh;
Tidak selantang bak sabungan guruh;
Namun masih rela tetap bersungguh;
Istiqamah beramal agar IMAN tak lusuh..

Kembara ini ku kutip damai..
Ku tanggal dunia yang sedia ku pakai;
Akhirat ku semat utuh agar tak lalai;
Di dunia benih-benih taqwa ku semai;
Kelak bangkit disana hasil ku tuai;
Seandainya benih ini benar bernilai..

Akhirnya lapangan ini bakal ku tinggal..
Setelah segalanya usai tugasku selesai.
-hassan-

Moga Allah terima amal kebaikan kita. Semoga terus istiqamah dalam usaha melayari bahtera dakwah. amiin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Kepada Rakan