Mencari sesuatu?

Sunday 7 September 2014

Aku nampak MAGIS

Magis
Sekadar bait minda selepas membacanya
Kagum dalam seram sejuk membacanya

Moga yang baik diambil iktibar

Awal tahun 2013, ketika tu ada jualan buku, sekadar melihat jika ada buku-buku yang berkenan di hati bagi mengisi masa-masa kosong nanti. Dan buku novel MAGIS karya Ramlee Awang Murshid menarik perhatian. Bila seorang lelaki kaki novel, mendapati cerita-cerita karya seorang lelaki. apatah lagi tajuknya pula sangat berbeza. Maka ku sambar!


Buku ini pada mulanya, kusangkakan berkisar mengenai pertarungan mengenai kuasa magis atau sesuatu seperti cerita magis "Now You See Me". Namun ia lebih dari itu. Menceritakan kisah akhir zaman. Berkisar mengenai 'kuasa' batil Dajjal dan konspirasi jahat akhir zaman. Sehelai demi sehelai mewujudkan suspen dan tanda tanya. dan pengakhirannya agak membuka mata.

Bagi saya, pertama kali membaca novel yang berbentuk rekaan namun serius berkait dengan kebenaran. dan penulisannya bukan sekadar mereka-reka. helaian belakang novel ini, penulis membuat kajian dan rujukan hampir 35 atau lebih rujukan. Ini bagi saya, Novel yang bukan rekaan kosong. Sinis dalam tegur. Mengajak kembali dalam Agama yang benar dan sedar akan realiti.

Bagi mereka yang suka kan Novel fiksyen. Namun masih berpijak di bumi nyata. Buku ini adalah bertepatan dan amat baik.Daebak!! :)

-Baru habis baca sebenarnya, walaupun dah lama beli huhu

Friday 5 September 2014

Apa Aku dah Buat?: IMEJ

Tinggi bulan dilangit
kacamata ku pecah
Tak dapat tidur
titip semula hamparan karya
kitakah pemusnah agama?

Bismillah ArRahman ArRahim

September menjengah di tahun 2014, pelbagai cerita, kebanyakkannya duka, Namun bak kata manusia, inilah lumrah hidup, Tak akan terasa nikmat dan manis jika tak kenal bagaimana rasanya pahit. Tapi perasan, meniti usia semakin dewasa. semakin terdedah dengan dunia luar. Kalau dulu terperuk dalam sekolah agama. 24 jam waktunya dijaga ustaz ustazah. Masuk matrikulasi, Alhamdulillah, iklimnya masih sama, cuma diselang seli dugaan dunia. Menjejak menara gading. baru nampak bagaimana parahnya ummat manusia.

Kenapa? 

jujur, ramai yang inginkan agama, ramai yang mengaku, dengan agamalah seseorang itu maju. Memohon kepada tuhan untuk sesuatu. Namun ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang sehinggakan ia mengundang IMEJ buruk kepada agama kita sendiri. Lantas ia tercemar. Orang semakin membenci. Penganut sendiri hilang identiti. sekadar atas IC namun tidak jati diri.

DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER

Mungkin ia hanya sekadar pepatah yang diguna. Tapi tidak pada pelaksanaannya. Secara lahiriah, orang akan pandang luaran dahulu. Hatta insan itu baik setara mana sekalipun, Luaran akan dinilai terlebih dahulu oleh mata manusia. Dan ini yang ramai terlepas pandang oleh kita para penyebar agama.

Kita Kata kita perjuang agama, Pakaian yang kita sarung du tubuh langsung tidak bermakna. Kotor, Compang camping, terlalu 'RARE' sehingga kelihatan pelik. Terlalu berhias dengan perhiasan yang ;tak perlu pun ada kat pakaian tu;

Kita Kata Kita Perjuang Agama. Kelakuan kita tidak seperti yang sepatutnya. Tidak menjaga kebersihan, bilik kotor, bersepah. Bercakap ikut sedap mulut nak kata apa. Mengata? mungkin menyindir tapi perlu dengan hikmahnya. Jika kata-kata bisa mengaibkan orang ramai. adakah sindirian itu menjadi satu didikan?? saya tidak pasti...anda rasa?? "saya minta MAAF" dan "Terima kasih brader" mungkin berat untuk dilafaskan.

Kita Kata Kita Perjuang Agama. Kadang kala pengurusan kita entah kemana. Berjanji? minta dijauhi untuk dimungkiri. Pengurusan masa, mohon dipermudahkan mengejarnya. Tugasan-tugasan? moga Allah tak sibukkan kita sehingga satu pun tugasan tersebut tak mampu diselesaikan.

Kita Kata Kita Perjuang Agama. Tapi kita lemah, Gagal sekali, Dcabar terus melenting, tapi hanya lentingan tanpa tindakan. dengan hiburan dan kesenangan dunia juga, kita lemah bila ia banyak mengelilingi pinggang manusia.

Jujur, Diantara dua pisang ini. Yang kuning cantik kulitnya berbanding pisang dengan tompok hitam pada kulitnya. Mana satu menjadi pilihan kalbu. (Teringat kat kek Pisang). Sebenarnya kedua-dua pisang ini mempunyai isi yang elok, namun rupa luaran menyebabkan keinginan berubah.




Lihat Bagai Mana Rasulullah Bermula

Antara faktor yang menarik ramai orang untuk dengar dakwah nabi dan kebanyakkannya tertarik untuk mengikut ajaran Allah dan rasul (iaitu islam) bermula dari luarannya yang sangat cantik. Pertuturan nabi yang lembut dan menyenangkan. Keterampilan nabi yang segak lagi menawan, tidak berlebihan, besederhana namun tetap rapi terurus. Senyuman? tak pernah lekang. Sistematiknya pengurusan nabi mengatur stategi sehingga setiap perkara difikir cara dan akibat.

Dan IMEJ ini diteruskan oleh para sahabat dan Da'i selepasnya. Islam terus bekembang, bekembang dan bekembang. 2/3 Dunia...

IMEJ: Hanya satu faktor
Mungkin ada yang akan menyangkal, kalau sekadar imej sahaja tidak cukup la brader, Sepatutnya hati kena kental, Ilmu kena tebal, baru harum agama akan kekal. Ya, Itu betol, dan IMEJ yang dipampangkan, hanya salah satu faktor dari semua faktor-faktor kejayaan. Perbandingan yang kita buat sebelum ini mengenai pisang. contoh yang paling mudah.

Jujur, IMEJ kita yang baik: Menarik minat orang luar  : Menggusarkan musuh menyerang. 


Wallahualam
Peringatan untuk diri ini juga, Moga Allah tidak laknat kerana tidak mengerjakan kata-kata. 
Sebarang teguran dan pandangan boleh diberikan. :)

Saturday 2 August 2014

Perjalananku.. "KEMBARA"

Assalamualaikum..


Dengan Nama Allah
Yang telah menghidupkan jua mematikan aku..

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah dan kurnia-Nya sehingga kini diri ini masih lagi diberi peluang untuk terus menghirup udara segar di muka bumi ini dengan nikmat kehidupan yang penuh melimpah-ruah.

Hingga ke masa ini, detik ini, saat ini, saya masih lagi bisa menulis, mencoretkan kata-kata, melakar puisi hati, mengekspresi rasa diri, membuka lapangan untuk sama-sama kita berkongsi, syukur Allah swt masih memberikan saya peluang untuk terus mengembara mencari 'sesuatu' disini.

Umumnya, permulaan kita semua sama. Cuma hanya yang tinggal, tentang bagaimana kita dibentuk setelah lahir, bagaimana kita membentuk setelah mencapai baligh. Semuanya bergantung, dan itu lah yang menjadikan antara kita menjadi sedikit berbeza, namun masih lagi sama dalam erti kembara mencari redha yang Maha Esa selaku hamba yang sentiasa lemah juga hina.

Puisi ini mungkin sebahagian besarnya mengenai diri saya, namun mungkin juga sebahagian besar cerita kita
hampir sama. Kembara perjalanan kita dalam haluan tujuan yang utama, mencari redha pencipta, Dia Tuhan yang Maha Esa. Jadi, saya pahatkan puisi 'Kembara' dilaman ini agar dapat sama-sama kita kongsi cerita sisa-sisa perjalanan kita di dunia ini ke arah menuju pengakhiran yang sentiasa diingini, Husnul Khatimah yang dihajati. Semoga dipermudahkan segala urusan kita di dunia ini juga di akhirat kelak. Amiin. Semoga pekongsian ini juga bermanfaat untuk kita semua. Terimalah, 'Kembara'... ;)


Kembara ku tidak jauh..
Hanya disini masih rapuh;
Masih mencari akar agar ampuh;
Sedang melakar tapak biar kukuh;
Disinilah petak mula aku berkayuh..

Jalan ini ku pilih pasti..
Kala hidup disini juga mati;
Haluan yang ku kira dirahmati;
Tujuan perjalanan sarat penuh erti;
Disini ku bermula mencari yang hakiki..

Kembara ku tidak jauh..
Dimedan fana ini aku bersimpuh;
Melamar damai kental tak luruh;
Perjalanan hemah elak bermusuh;
Semampu setia rendah tidak angkuh..

Saat suasana sekitar ku aman..
Ada antara saudaraku ditimpa ujian;
Dibedil penginapan dibunuh tanpa kasihan;
Namun jiwa masih kental dengan IMAN;
Percaya Allah pasti hulur pertolongan;
Andai aku disana apa mampu aku bertahan..?

Kembara ku tidak jauh..
Langkah bertapak ku cuba asuh;
Bertatih lemah kadang terjatuh;
Matlamat disemat tidak sebagai jaguh;
Anganku hanya untuk sebenar 'Abduh..

Aku disini tidak kekal..
Hanya persinggahan sementara menunggu ajal;
Sisa hidup berbaki ku isi penuh amal;
Berharap tsabat berjuang tak leka berkhayal;
Menjadi yang benar bersyukur kerna berakal..

Kembara ku tidak jauh..
Masih berlegar menanti disuruh;
Tidak selincah helang megah berparuh;
Tidak selantang bak sabungan guruh;
Namun masih rela tetap bersungguh;
Istiqamah beramal agar IMAN tak lusuh..

Kembara ini ku kutip damai..
Ku tanggal dunia yang sedia ku pakai;
Akhirat ku semat utuh agar tak lalai;
Di dunia benih-benih taqwa ku semai;
Kelak bangkit disana hasil ku tuai;
Seandainya benih ini benar bernilai..

Akhirnya lapangan ini bakal ku tinggal..
Setelah segalanya usai tugasku selesai.
-hassan-

Moga Allah terima amal kebaikan kita. Semoga terus istiqamah dalam usaha melayari bahtera dakwah. amiin.

Sunday 27 July 2014

Salam Syawal : Biar Raya Diterangi Cahaya


Assalamualaikum, kami barisan penulis blog Secerah Nurrahman, mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri. Semoga Hari raya ini disambut dengan penuh kesederhanaan dan kegembiraan disamping kita mengingati saudara-saudara kita yang masih lagi diuji. Tarbiah Ramadan kita jadikan sebagai pendinding diri agar Syawal yang dirai masih mendapat redha dari Allah SWT.

Salam Sayang dari barisan Blogger Secerah Nurrahman

Tuesday 22 July 2014

Diskusi: Sombong, Bongkak, Layakkah kita?

Bismillah..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi
Maha Mengasihani..

Kita manusia sebagai hamba
Dijadikan kita ummat manusia, terlahir diatas muka bumi ini hanyalah sebagai seorang hamba yang seharusnya sentiasa patuh dan tunduk kepada arahan jua aturan Tuannya yakni Allah swt. Kita diciptakan Allah swt untuk mengabdikan diri kepada-Nya. 

Firman Allah swt:
"Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepada-Ku."
(Surah Adz-dzariyat : 56)

Maka, layaknya apa untuk kita ini bermuka-muka, sombong, bongkak diatas bumi pinjaman-Nya yang
sementara ini. Sedangkan kelak kita akan dikembalikan semula kepada Dia, Pemilik dunia yang sebenar-benarnya.
 Logiknya, layakkah jika seorang hamba, individu hina, insan yang asalnya tidak punya apa, berlagak seperti orang yang punya segalanya, sombong bak dia lah tuan yang sebenarnya, melebihi tuan pemilik dia yang sebetulnya. Sudahlah hakikat sebenar hina tiada apa, masih mahu bongkak melebihi tuannya yang sememangnya layak.

Senang cerita gini lah. Kita ada maid dekat rumah. Macam biasa lah, orang ambil maid ni untuk jadikan sebagai pembantu buat kerja-kerja rumah, jaga kebersihan dan memudahkan urusan kita untuk menjaga rumah, dah tentu bukan untuk dilantik sebagai 'Yang di-Pertua' untuk bermaharajalela di rumah. Ya kan? Jadi, apa rasa kita kalau kita sebagai tuan rumah, tapi sebaliknya diperlakukan seperti bukan sesiapa oleh maid yang kita gajikan untuk cuma sebagai pembantu dalam rumah kita sendiri? Seolah-olah dialah boss, tuan rumah yang sebenar dekat rumah kita tu. Dah confirm kita rasa macam nak kick je dak kalau ada maid yang tak sedar diri macam tu? Menyirap satu badan dibuatnya.
Tapi Tuhan kita tidak...
Allah swt Maha Penyayang..
Meski, Dia punya segala kuasa untuk melakukan apa pun pada kita hamba-hambaNya yang banyak berdosa..

"Sombong itu selendang-Ku"
Sifat sombog ini hanya selayaknya bagi Allah swt. Allah swt berfirman dalam Hadis Qudsi:

"Sombong itu selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Barangsiapa merampas salah satu darinya, Aku lemparkan dia ke Neraka Jahannam."
(Riwayat Abu Daud)

Allah swt sangat bencikan kepada hamba-hambaNya yang bersikap sombong dan bongkak. Allah swt berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dan dina."
(Al Mukmin: 60)

"Janganlah kamu berjalan dengan menyombongkan diri kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan ketinggianmu tidak akan melepasi gunung."
(Al Isra':37)

"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong."
(An Nahl: 23)

Demikianlah Allah swt menggambarkan tentang kebencian-Nya terhadap mereka-mereka yang memiliki sifat sombong dalam diri. Seharusnya kita sebagai makhluk Allah swt, perlu sentiasa merendah diri. Umum mengetahui, kita makhluk Allah fitrahnya adalah sama. Sejak dari terciptanya kita didalam rahim ibu, sehinggalah terlahirnya kita untuk melihat dunia, kita tiada beza, kosong tiada apa. Hanya amalan dan taqwa yang membezakan kita setiap ummat manusia. 
Contohi sifat rendah diri Khalifah Umar Al-Khattab, dimana beliau menempatkan dirinya sebagai serendah-rendah manusia pada ketika beliau berada bersama masyarakat atau orang ramai.
Namun tidak boleh dinafikan, manusia tidak dapat lari dari melakukan khilaf kesalahannya. Justeru, kita harus kerap kali bertaubat dan memohon ampun kepada Allah swt.

Semoga segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah swt. amiin.


Allah Maha Penyayang dan Maha Pengampun
Sungguh Allah itu sangat sayang pada kita hamba-hambaNya. Jika tidak, sudah tentu mungkin disebabkan sedikit kesalahan kita diatas muka bumi ini kita akan ditimpa malapetaka atau balasan serta-merta oleh Allah swt. Sebaliknya tidak, Allah swt masih memberi kita ruang dan peluang untuk bertaubat, kembali dan memohon ampun kepada-Nya walau kenyataan sebenar dosa kita ini sudah bergunung-gunung tidak terkira. Betul tak?
Walau terlalu banyak khilaf, dosa yang telah kita lakukan kepada-Nya, Allah swt masih lagi membuka seluas-luasnya pintu keampunan Dia kepada kita.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda, "Tatkala Allah menciptakan para makhluk, Dia menulis dalam kitab-Nya, yang kitab itu terletak disisi-Nya diatas 'Arsy, "Sesungguhnya rahmat-Ku lebih mengalahkan kemurkaan-Ku."
(HR Bukhari no. 6855 dan Muslim no. 2751)
Firman Allah swt:
Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(QS. Az Zumar: 53)
Usah Terlalu Leka dengan Nikmat Dunia
Oleh itu, usahlah kita terlalu leka dengan nikmat dunia yang hanya sementara hanya kerana ia terlau indah terlihat dimata, membuatkan kita tepukau sehingga lupa siapa kita, dan siapa Pemilik segala nikmat ini yang sebenarnya.
Jika rupa paras kita cantik, menawan. Hensem, kacak, sampai semua gadis tengok tak bosan.
Alhamdulillah, syukur pada Allah swt. Sedarkah kita itu hanya pinjaman Allah kepada kita untuk sementara. Malah, ia juga mungkin sebagai ujian buat kita seorang hamba agar sentiasa ingat pada-Nya, tak lupa.
Andai kita orang kaya, berpangkat, tanah dan harta ada di merata-rata.
Syukur pada Allah, itu juga kurniaan, pinjaman Allah pada kita. Dia beri akal juga tubuh badan yang sihat pada kita untuk berusaha sehingga kita mencapai jaya. Jika bukan kerana rahmat juga nikmat dari-Nya ini, apa mungkin kita akan bisa hidup mewah, kaya penuh selesa. 
Dan tahukah kita, dalam rezeki, nikmat kekayaan yang kita punya, terselit disana hak orang lain yang perlu kita berikan kepada mereka. Moga dengan itu rezeki kita akan lebih berkat, bersih dan hidup akan terus dirhmati Allah swt sepanjang masa.
Renung semula...
Masih layakkah kita untuk berlaku sombong, bongkak, lupa diri..
Kita tak layak sebenarnya..
Cukuplah hanya sekadar Allah ada untuk kita...

*Info Bahasa:
  • Sombong merupakan kata adjektif
  • Bersinonim dengan angkuh, bongkak, tinggi hati, megah, aga, peteras, kocak, congah, bongak, uju, ujub, songar, maghrur, hagas, leweh, panggak, umuk, agul-agul, anggak, gaduh, burakah, pondik.
Rujukan:
Kamus Dewan Edisi ke-4

Friday 11 July 2014

BIASAkan Yang BETUL, BETULkan Yang BIASA

Assalamualaikum...

Bismilahirahmanirrahim..
Subhanallah, Alhamdulillah, Lailaha Ilallah, Allahu Akbar..

Bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah Rahmat juga Kurnia-Nya, diri ini masih lagi diberi kesempatan dan idea untuk menulis dan berkongsi kata-kata juga input Islami bersama kalian hasil cetusan dari nikmat akal fikiran yang sihat sejahtera pinjaman sementara dari Dia. Mudah-mudahan memberi manfaat dan input yang berguna untuk santapan rohani dan akal fikiran kita bersama. InsyaAllah..

Selawat serta salam ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad saw, Khatimul Anbiya' yang senantiasa dirindu disetiap detik jua waktu. Moga kita semua beroleh syafaat dari baginda pada ketika hari yang tiada lagi guna pangkat, kekuasaan, harta jua kekayaan, yakni akhirat hari kebangkitan seluruh hamba untuk diadili dihadapan Pencipta mereka. Semoga kita semua dirahmati oleh-Nya sentiasa. Amiin..

Ayuh kita tuju pada main point sebenar yang saya nak bincangkan sama-sama dengan sahabat-sahabat secerah nurRahman dalam entry saya pada kali ini. Kalau dulu masa di bangku sekolah menengah (SMKA Kerian, G. Semanggol), guru B. Melayu saya En. Fadhli kerap membetulkan kami pelajar-pelajarnya agar menggunakan bahasa dan mengaplikasikan tatabahasa dalam pertuturan semasa dengan cara yang betul dan tepat. Katanya, "biasakan yang betul, betulkan yang biasa..". (pada yang biasa dan sempat belajar bersama dengan beliau, mesti familiar dengan frasa tu..perasan tak?) Frasa yang bagi saya sangat simple namun sudah cukup untuk membentangkan makna yang sangat luas pada kita untuk sama-sama direnung dan difikirkan. Benar, sangat besar maknanya..

Ya, umumnya terlalu banyak perkara yang telah menjadi kebiasaan dan amalan dalam hidup kita kini. Pada amalan yang baik lagi disenangi umpama suka bantu-membantu, membaca mencari ilmu, bersedekah pada mereka yang perlu dan banyak lagi amalan baik yang lain. Ahamdulillah, syukur kepada Allah swt. Ya!! teruskanlah amalan itu, masyarakat senang, Allah juga sayang. InsyaAllah. Namun, tidak terkecuali juga amalan yang menjadi kebiasaan dalam hidup kita ini wujud ciri-ciri yang tidak menepati spesifikasi syariat Islam tanpa kita sedari, atau mungkin sengaja tidak mahu kita hindari. Na'uzubillah..

Terkadang, perkara yang sudah sekian lama menjadi amalan kebiasaan bagi diri, kita rasa senang dan mudah untuk melakukannya tanpa rasa ragu. Justeru, ia menjadikan kita susah untuk menjauhkan diri sekali gus mahu ditinggal dan tidak mengamalkannya lagi. Seolah-olah amalan itu sudah sebati dengan diri, bersarang penuh kukuh dalam hati, menjadi sukar untuk dicuci, payah untuk dibenci, apatah pula mahu ditinggalkan pergi. Allahu..

Marcapada, memaparkan kita dengan banyak perkara yang pada dasarnya menyalahi syara', namun masih dibiar berleluasa, diamal, dijunjung tanpa ada rasa bersalah seolah-olah hukum Allah swt itu tidak sempurna untuk dituruti lalu selayaknya mungkin dipermainkan sebegitu, dipandang enteng seperti tidak punya sebarang nilai. Bagi kita yang dikurnia sempurna akal, berfikirlah bagaimana yang seharusnya dan selayaknya untuk kita lakukan selaku seorang hamba yang hina. Ya Allah, ampuni kami hamba-hambaMu yang serba lemah dan penuh dengan dosa noda ini ya Rabb..

Rasanya tak perlulah kiranya saya untuk lampirkan bersama dalam coretan ini beserta dengan contoh-contohnya. Sudah pasti diri kita sendiri lebih mengetahui tentang apa yang betul dan apa yang tidak berkenaan dengan amalan, kebiasaan diri kita sendiri. Ya kan? Jadi, sama-samalah kita audit semula diri sendiri, jika banyak yang baik, alhamdulillah, jika tidak na'uzubillah dan mari sama-sama kita cuba perbaiki slow-slow dari masa semasa. InsyaAllah. Semoga Allah kurniakan kekuatan kepada hati-hati kita ini untuk sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan.

Sekian dulu dari saya untuk entry yang ini. Saya tamatkan perbincangan entry 'BIASAkan yang BETUL, BETULkan yang BIASA' hingga setakat ini dahulu. Mudah-mudah coretan ini dapat sedikit sebanyak membantu kita untuk lebih gigih, bersemangat untuk mencapai redha Allah juga memperoleh rahmat kasih sayang-Nya sepanjang dalam hidup kita. Mudah-mudahan juga dengan adanya perkongsian dalam entry yang ini dapat juga sedikit sebanyak mencorak semula gaya amalan harian kita dari yang biasanya SALAH kepada dibiasakan yang BETUL. InsyaAllah.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan memberi sokongan kepada saya untuk terus mencari, memerah idea untuk berkongsi info juga nasihat-nasihat Islami bersama kalian disini. Syukran kepada guru-guru, ustaz-ustazah, para pensyarah yang telah sudi mengajar mencurahkan ilmu tanpa rasa jemu kepada saya dan kita semua. Semoga Allah merahmati guru-guru kita. Amiin. 

Nota untuk cikgu Fadhli, minta maaf kalau ada kesalahan bahasa dalam entry saya yang ini.. ;)

Semoga apa yang saya cuba ketengahkan dalam penulisan saya kali ini sampai, dan diterima dengan dada yang terbuka, insyaAllah.
Semoga kita semua dirahmati Allah swt. ^_^

Pada kesempatan ini juga izinkan saya menagih sedikit masa kalian untuk berdoa',  ayuh sama-sama kita angkat tangan untuk berdoa ke hadrat Illahi agar dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan kepada saudara-saudara kita yang sedang ditindas dan dirampas keamanan tanah tempat kelahiran mereka setelah sekian lama sehinggalah ke detik ini.
Firman Allah swt:
Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalakepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” 
(Al-Hujurat: 10)

Sabda Nabi saw:
“Seorang mukmin bagi mukmin yang lain ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya. Kemudian Rasulullah menggenggam jari-jemarinya.” 
(Bukhari & Muslim)

Ya Allah, sesungguhnya kami tiada upaya untuk bersama-sama mereka mengangkat senjata menentang musuh agama-Mu, hanya yang terdaya kami lakukan adalah dengan menembak doa'-doa' kudus ini dengan penuh rasa hiba dan sepenuhnya pengharapan hanya pada-Mu kami memohon pertolongan. Sesungguhnya, Engkaulah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Amiin ya Rabb!


Wednesday 7 May 2014

Cuma Sekarang

Assalamualaikum...

Bismilahirahmanirrahim..
Subhanallah, Alhamdulillah, Lailaha Ilallah, Allahu Akbar..

Syukur ke hadrat Allah swt, kerana dengan limpah dan kurnia-Nya buat kesekian kalinya saya masih lagi diberi peluang untuk menulis entry ini dan berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya punya dengan sahabat-sahabat di sini.. Mudah-mudahan apa yang saya bawakan ini bisa membantu dan menambahkan serba sedikit bekalan ilmu dalam diri kita semua, supaya sama-sama dapat kita amal dan koreksi semula diri kita dari semasa ke semasa.insyaAllah :)
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi kita, Muhammad saw. Baginda insan mulia yang bertanggungjawab membawa nikmat IMAN ke dalam dada-dada ummat bermula zaman jahiliyyah ribuan tahun dahulu sehinggalah sekarang Islam kekal berkembang seiring masa dan zaman. Alhamdulillah...
'Cuma SEKARANG', satu tajuk yang saya fikir simple untuk saya ajak sahabat-sahabat saya di sini bagi sama-sama kita renung dan fikirkan. Secara ringkasnya, tajuk ini saya create adalah untuk berbicara tentang betapa singkatnya masa yang kita ada untuk kita terus leka dan alpa di atas muka bumi ini. 

Lahir itu suatu tarikh yang tidak dipinta, mati itu suatu tarikh yang tidak dapat ditunda. Begitulah hakikat sebenar kewujudan kita dimuka bumi Allah ini. Segala-galanya telah ditetapkan oleh sang Pencipta yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Namun itu bukanlah tiket alasan untuk kita serah bulat-bulat kepada takdir Allah tanpa sedikit usaha dari diri sendiri bagi memperoleh yang terbaik dalam hidup kita. Firman Allah swt :-

إِنَّ اللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka"
(Surah Ar-Ra'd : 11)


Demikianlah Allah guide kita dalam menguruskan aturcara hidup seharian agar lebih teratur dan berjaya. Sebagai seorang Muslim yang berIMAN kepada Allah, seharusnya kita yakin dan pasti bahawa janji-janji Allah itu pasti berlaku. Cuma berbeza dari segi cepat atau lambatnya sahaja. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah dan tidak zalim kepada hamba-hambaNya. Percayalah...

Ayuh kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk berfikir sejenak. Jika sekarang kita masih lagi leka, seronok bergelumang dengan perkara-perkara lagha, tidak mempunyai faedah untuk diri apatah lagi untuk agama. Soalan saya, sangat yakinkah kita akan masih diberi masa untuk perbetulkan semula semua itu akan datang? Sedangkan kita sendiri tidak tahu pada hari apa, jam bila, minit berapa, saat mana kita akan tamatkan hembusan nafas yang dihela ini.  Mana mungkin kita sebagai hamba biasa, lemah tiada daya, sakit tak kira masa, miskin tidak kaya, mampu membeli sedetik masa sebelum saat kematian tiba semata-mata untuk meluruskan semula jalanan bengkok yang telah kita bina dengan segala suka dan lagha.

Allah Maha Kaya, Dia masih memberi peluang kepada kita dengan terus meminjamkan nikmat kehidupan ini semata hanya untuk membenarkan kita sedayanya usaha memperbetulkan semula aturan langkah, hayunan penuh gagah, melakukan yang sunnah, meninggalkan segala yang ditegah, dalam matlamat yang penuh maruah demi Allah. 

Pada saat ini, kita masih bisa menghela nafas tanpa rasa gusar, masih hidup dan sedar, gembira bertambah mekar, apa salahnya dengan ruangan yang ada ini kita mulakan bersama, recheck semula diri kita pada tahap mana, kondisi IMAN seperti apa? Perlahan-lahan kita ubah, berpaling arah agar lurus tidak susah untuk semuanya kembali pulih, bertumpu hanya pada Dia. Tidak saya nafikan, perubahan itu bukanlah sesuatu yang mudah, banyak onak dan payah. Maksud saya berubah ni bukan nak suruh hijrah terus jadi baik macam malaikat. Hari ni keluar rumah pakai seluar three quarter pergi beli top-up, tup tup esok tengok dah berubah mendadak keluar pakai jubah siap serban pergi riadhah main bola. (Erkkk!! takde lah sampai macam tu sekali. Berperingkat dan berada-pada lah. Ada juga yang kena pulau japgi. Saya taknak bertanggungjawab. adehhh!! -_-")

Benar, setiap langkah pasti punya penghalang, namun itu bukanlah sesuatu yang harus terlalu dibimbang, percaya Allah lihat setiap apa yang kita sumbang, walau sedikit usaha kita untuk melawan nafsu sehingga tumbang, itu sudah memadai dari diam menurut seakan sayang. Ingat, masa yang kita ada cuma sekarang, masa yang lepas tak mungkin berulang, masa depan belum tentu akan datang. Jadi, manfaatkan segala peluang dan ruang yang masih berbaki ini dengan sebaiknya, usah dipersia tanpa dibela, kelak rugi menangis berdarah tiada guna.

Rasanya cukup dulu sampai disini perkongsian saya untuk santapan akal dan fikiran. Harapan, pastinya saya inginkan entry ini membuahkan kesan, bukanlah sekadar hiasan, tidak hanya diambil ringan, ditinggal tidak langsung diendahkan. Mudah-mudahan perkongsian ini bermanfaat buat semua sahabat-sahabat. Semoga Allah sentiasa membantu saya dan kalian, dipermudahkan dalam segala urusan, tidak disusah melainkan hanya dipermudahkan, amiin insyaAllah. Sebagai pengakhiran kalam saya dalam entry untuk kali ni, saya tinggalkan kalian dengan persoalan Imam Al-Ghazali kepada muridnya untuk direnung dan  sama-sama kita fikir.. (Dalam kisah ini sebenarnya terdapat 6 persoalan dari Imam Al-Ghazali kepada murid-muridnya, tapi saya hanya memetik 2 persoalan yang awal dari beliau kerana ianya berkait rapat dengan tajuk yang saya ketengahkan dalam entry ni.. Itu saja.. Semoga beroleh manfaat, insyaAllah. Peace!! ^_^)


Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu beliau bertanya kepada mereka, "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi menurut Imam Ghazali yang paling dekat dengan manusia adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Lihat QS. Ali Imran ayat 185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaannya yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh kerana itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.

-berikan aku sedikit masa, aku sedang cuba untuk berubah-

Saturday 5 April 2014

Doa, Zahirkan Rasa Cinta Kita Kepada DIA

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi, Dia Tuhan yang menciptakan saya, anda, kalian dan semuanya yang wujud di atas muka bumi ini. Tiada yang lebih layak menerima puji-pujian melainkan Dia (Allah), Tuhan buat sekalian alam.

Allahumma solli 'alaa Sayyidina Muhammad wa 'alaa alihi wa sohbihi wa baarik wasallim.. Selawat serta salam buat junjungan besar nabi kita Muhammad saw. Dia yang membawa sinar cahaya kepada seluruh ummat manusia, menerangi jalanan yang dulunya gelap gelita, tiada arah melainkan jahiliyyah semata. Moga kita terpilih untuk bersamanya kelak disyurga. amiin :)

Untuk entry saya yang ini, ingin saya kongsikan sedikit sebanyak sekadar apa yang saya termampu, insyaAllah. (saja nak menulis kat sini, sebab lama dah tak kongsi..moga ada manfaat, insyaAllah.)

Ambil sedikit masa yang ada, renung semula sejauh mana sudah perjalanan kita di atas muka bumi ALLAH ini? 1 tahun? 10 tahun? 20 tahun? 30 tahun? Atau mungkin ada antara kita yang dah melewati lebih dari itu. Alhamdulillah, seharusnya kita bersyukur kepada Dia kerna masih diberikan pada kita suatu jangka hayat umur yang panjang untuk terus kita beribadah mengabdikan diri kepada-Nya, melakukan amal kebajikan di atas muka bumi ini. Hayat yang masih berbaki, umur yang semakin menghampiri tarikh mati, hidup yang tidak punya banyak masa lagi, imarahkan dengan segala amalan yang diredhai., mudah-mudahan Allah memberkati. InsyaAllah.
Benar iman kita kondisinya tidak sekata, ada naik dan turun. Kadang diatas, ada masa tersungkur terus berada dilantai tahap terbawah, na'uzubillah. Oleh itu, junjungan besar nabi kita Muhammad saw telah mengajarkan pada kita suatu doa untuk diamalkan agar kita tetap setia dan istiqomah berada bersama agama yang benar, Islam yang mulia. Dan doa itu adalah seperti berikut:-
"يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك"
'Yaa Muqallibal Quluub, Tsabbit Qalbi ‘Ala Diinik'

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati kami ini sentiasa bersama agama-Mu"

Doa ini boleh diamalkan sebilang masa, tidak punya waktu-waktu yang tertentu untuk dibacakannya. Allah berfirman, mafhumnya, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan-Ku maqbulkan..". Justeru, berdoalah kepada-Nya apa pun, bila-bila masa pun. insyaAllah Dia sentiasa mendengarkan rintihan kita, malah sentiasa rindu  untuk mendengarkan permohonan dari kita hamba yang serba kekurangan setiap masa dalam segala tiap-tiap sesuatu. Allahu.. Berdoa lah sentiasa kepada Dia, zahirkan rasa cinta kita yang tak terhingga kepada yang Esa, mudah-mudahan kita semua dikurnia syurga oleh-Nya di akhirat sana. Moga diperkenankan segala doa dan keinginan kita disisi-Nya, amiin. insyaAllah :)
Setakat ini dulu rasanya sedikit perkongsian dari saya dalam entri kali ini, akan datang jika umurnya masih panjang, insyaAllah kita ketemu lagi untuk kita terus berkongsi bersama di ruangan ini..

...Aku seorang PENCINTA...

Seorang penCINTA perlukan pengorbanan,
Seluruh jiwa bertumpu hanya pada IMAN,
Setiap yang baik disandar hanya pada Tuhan,
Kala hati terpaut pada cinta insan,
Cinta teragung tidak pula diketepikan,
Malah itu yang selalu menjadi keUTAMAan..

Seorang penCINTA seharusnya gagah,
Andai berjuta ujian datang menjengah,
Diri siap terima dengan penuh tabah,
Bila hati terusik rindu tanpa arah,
Pasti rasa itu diadu hanya pada Allah,
Tidak terbuang terbiar melimpah..

Cinta insan zahirkan perbuatan,
Cintakan Rasulullah  sunnah ditinggal jangan,
Cinta pada Allah lakukan segala suruhan,
Jauhi segala yang menjadi larangan,
Bersangka baik pada setiap keadaan,
Lakukannya selagi diri punya kemampuan,
Sentiasa berusaha hanya untuk kebaikan..

Semoga Allah Redha...
-Hassan-

Thursday 30 January 2014

Aku Nak Berubah


Nak memulakan perubahan itu bukan satu perkara yang senang. Berubah atau berhijrah adalah satu sebutan yang menakutkan bagi sesetengah orang. Ya, dalam kehidupan kita perlu ada perubahan. Berubah daripada tak baik kepada baik, berubah daripada kurang baik kepada lebih baik. Pokok pangkalnya PERUBAHAN kearah kebaikan. Kalau nak berubah mungkin tak susah tapi untuk MENGEKALKAN perubahan yang dilakukan itu yang sukar tapi tiada yang mustahil. Itulah mujahadah yang perlu dilalui kerana syurga itu manis. 

Dulu tak menutup aurat dengan sempurna tapi kini menutup aurat dengan sempurna. Hari pertama Alhamdulillah, hari hari seterusnya akan kedengaran suara-suara yang tidak enak untuk didengar. Kadang-kadang persekitaran kita yang membuatkan kita sendiri rasa pelik dengan perubahan kita. Dugaan itu sentiasa ada baik dari dalam diri sendiri atau pun luaran.

Saya dulu pun macam tu juga. Form 5 mula berjinak-jinak dengan tudung bidang 50. Pada mulanya tak yakin, takut orang kata, takut kawan-kawan jauhkan diri dan sebagainya. Tapi SABAR itu indah. Ingat, kalau kita nak berubah untuk jadi lebih baik, InsyaAllah Allah akan hantarkan kawan-kawan yang baik kepada kita. ITs ok kalau kawan-kawan tak nak kawan dengan kita atau menjauhkan diri daripada kita. Allah akan menghadiahkan kawan yang lebih baik daripada itu.

So, jangan bersedih kerana Allah sentiasa bersama dengan kita. :-)

Ok, antara langkah yang boleh diambil untuk berubah adalah :
1. Niatkan kerana Allah s.w.t.
2. Target (nak ubah apa?)
3. Mencari suasana dan rakan yang baik.
4. Bersabar dengan cemuhan
5. Berdoa kepada Allah supaya tetapkan dan kuatkan hati yang sentiasa berbolak balik

Ada juga perubahan seseorang itu disebabkan oleh seseorang. Contoh nya, Aminah minat dengan Ali. Ali seorang yang alim. Maka, keadaan ini mendorong Aminah untuk bertudung labuh. Go on kalau itu yang menjadi ASBAB untuk anda berubah. Permulaan perubahan itu memang begitu tetapi selepas itu anda pasti mendapat sesuatu. Rasa ketenangan dan sebagainya akan membuatkan anda akan tersenyum dan bersyukur. Kita sering kali bercakap soal hidayah dan inayah daripada Allah itu datang pelbagai bentuk. Tapi apabila keadaan ini berlaku ramai pula yang menjatuhkan dan memperkecilkan perubahan yang berlaku. Kenapa???

Kita membesar dalam keadaan berbeza. Tidak semua orang membesar dalam kefahaman agama yang mantap. Walaupun mendapat pendidikan agama tapi tahap kefahaman setiap manusia itu still berbeza. Oleh itu, Jangan sewenang-wenangnya memperkecilkan usaha mereka yang ingin berubah. JANGAN KERANA MULUT ANDA,MEREKA KEMBALI seperti dulu.

Siapa kita untuk mempersoalkan perubahan mereka???
Siapa kita untuk menjatuhkan hukum kepada mereka???

Ayuh sahabat,,
Usah pedulikan apa yang orang sekeliling kita katakan.
Ingat Rasulullah s.a.w pernah bersabda : "Islam bermula dalam keadaan asing(gharib) dan akan kembali dianggap asing sebagaimana bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu (ghuraba')"
-HR Iman Muslim-

Kita perlu memulakan langkah pertama barulah langkah-langkah seterusnya akan menyusul. InsyaAllah tiada yang mustahil. 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Kepada Rakan