Assalamualaikum, sebenarnya ni cerpen seorang sahabat saya. sy dapat masa Friendster famous satu ketika dulu. cerita ni amat menarik. dan saya rasa amat teruja nak kongsikan (kebetulan pulak ni 1st edition pya entri) hehe. diharap sahabat2 dapat mengambil iktibar dari cerita ni. Kepada penulis asal (dah xingat sapa, sbb dah lama sangat dah) mohon disiarkan disini ;)
ceritanya bermula......
“Umi!!!!” Khalid menjerit nyaring.
Sebaris rumah baru sahaja
dihancurkan oleh jentolak di hadapan matanya. Khalid yang bersembunyi di
sebalik batu-batu yang ada hampir sahaja menjerit ketakutan, mujur suaranya itu
tersekat di kerongkong sehinggalah tentera-tentera kejam itu berlalu pergi.
Jika tidak, entahkan hidup entahkan tidak lagi dirinya di muka bumi ini.
“Umi!!!” Khalid menjerit lagi.
Kanak-kanak berusia 6 tahun itu
berlari-lari di atas serpihan batu-bata, terpaksa memungkinkan bahawa ibunya ada
di situ.Cuaca yang panas terik tidak memberhentikan kakinya daripada terus
melangkah, berlari ke segenap penjuru mencari insan yang paling dikasihinya.
“Khalid.. Khalid anak umi…” Suara
lembut itu membuatkan kepala Khalid menoleh ke arah sisinya.
Wajahnya yang dibasahi peluh
tersenyum senang melihat kehadiran Nur Laili, satu-satunya ahli keluarganya
yang masih hidup pada saat itu. Khalid berlari ke arah Nur Laili, Nur Laili
mendakapnya senang.
“Umi, Khalid ingat umi dah
tinggalkan Khalid macam abi...”
* * *
“Khalid... Mari cepat pergi masjid,
sekejap lagi azan ni!” Kedengaran suara Salman Al-Farisi memanggil dari luar
rumah.
Khalid yang baru sahaja keluar dari
bilik air terkedek-kedek lari mendapatkan bapanya.
“Umi, Khalid pergi dulu..” ucapnya
seraya melangkah pergi.
“Abi, kenapa kita kena solat kat
masjid? Umi tak pergi masjid pun abi...” Khalid bertanya.
Matanya yang bening memandang tepat
ke dalam anak mata Salman Al-Farisi. Salman Al-Farisi menarik nafas panjang.
“Kita kan orang Islam sayang, kita
lelaki, lelaki kuat, jadi kena solat kat masjid. Umi tak apa solat kat rumah.
Lagipun, bila ramai-ramai orang Islam berkumpul kat masjid, orang kafir pun
akan gerun, nampaklah orang Islam ni bersatu, bila bersatu,kita kuat kan
sayang?”
Salman Al-Farisi cuba menerangkan
seringkas mungkin buat kanak-kanak berusia 6 tahun itu.
“Tapi abi....”
“Kenapa Khalid?”
“Kenapa dulu masjid kosong je..
Sekarang ni baru nampak penuh... Bukankah sekarang ni banyak tentera, kat
setiap penjuru ada tentera, dulu tak ada tentera kenapa orang tak sibuk ke
masjid?” Penuh ketulusan suara itu bertanya.
Salman Al-Farisi termenung jauh.
Tangannya yang memimpin tangan Khalid digenggam seerat mungkin. Bagaimanakah
cara terbaik untuknya menerangkan keadaan ummah pada masa kini kepada kanak-kanak
sekecil Khalid.
“Khalid... Kalau Khalid dapat apa
yang Khalid nak, tapi Khalid degil, tak mahu dengar cakap abi. Tiba-tiba satu
hari semua tu abi ambil balik , Khalid hidup susah, baru Khalid rasa betapa
bermaknanya kesenangan yang lalu kan?”
Khalid angguk.
“Macam tu jugalah keadaan sekarang
ni. Dulu, Allah bagi nikmat banyak sangat. Tapi manusia tak mahu bersyukur
malah manusia tak nak dengar cakap Allah. Sekarang ni,bila dah susah baru semua
tahu betapa pentingnya sesuatu arahan Allah. Mustahil arahan daripadaNya itu
sia-sia.”
“Abi, Khalid tak mahu lawan cakap
Allah!” Khalid bersemangat.
“Ye sayang, Khalid kena jadi macam
Khalid Al-Walid. Dia seorang panglima perang yang hebat, dia tak pernah gentar
dalam mempertahankan Agama Islam bahkan dia rela mati di jalan Allah”
Bersemangat Salman Al-Farisi memberi kekuatan buat si anak kecil.
Satu-satunya anak yang masih tinggal
untuk bersama-samanya berjuang di jalan Allah.
“Macam abang-abang?” Khalid bertanya
lagi.
Terlalu perit kenangan yang lalu itu
untuk dikenang. Anak-anaknya semua berjumlah 5 orang. Kelima-limanya adalah
lelaki dan 4 orang daripadanya telah pun syahid di jalan Allah. Biarpun perit,
namun Salman Al-Farisi tetap bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang bergelar
mujahid fi sabilillah!
“Abi.....”
Khalid mula menyorok di belakang
Salman Al-Farisi. Lamunan Salman Al-Farisi terhenti. Matanya tertancap,melihat
objek-objek yang bergerak di hadapannya. Kelihatan beberapa orang tentera
berlegar-legar dengan senapang di sisi. Salman Al-Farisi memandang Khalid di
sisi yang ketakutan.
"Allah... lindungilah anak yang
tidak berdosa ini.."
Salman Al-Farisi mendukung tubuh
kecil Khalid dan melangkah gagah menuju ke masjid yang berada beberapa langkah
lagi di hadapannya. Khalid menangis semahunya di bahu abi tercinta.
* * *
Pom! Pom!
Bunyi ledakan peluru membantutkan
konsentrasi seluruh jemaah yang sedang bersolat. Khalid terpaku melihat
beberapa baris jemaah yang telah pun rebah ke bumi akibat ditembak ketika
sedang bersolat. Sebentar sahaja, dan tentera-tentera kejam itu pun pergi
meninggalkan mayat-mayat bergelimpangan di dalam masjid. Khalid mula tidak
keruan. Di mindanya tergambar wajah abi tercinta. Khalid mundar-mandir. Satu
persatu wajah para syuhada’ yang berada di lantai masjid di tatapnya. Dan...
“Abi!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
Khalid meraung.
Wajah insan yang amat disayanginya
berada di situ. Kepala Salman Al-Farisi berlubang ditembusi peluru. Darah yang
berwarna merah pekat mengalir membasahi separuh mukanya.Mengerikan.
“Abi... Kenapa tinggalkan Khalid...”
Pandangan Khalid mulai kelam dan
Khalid rebah di situ.
* * *
“Umi...” Khalid bersuara dalam
sendunya yang masih berbaki.
Nur Laili yang asyik mengelamun
tersentak.
“Ya sayang..” Tangan yang mampu
menggoncang dunia itu mengusap lembut kepala Khalid. Penuh kasih.
“Kenapa negara Islam yang lain tak
bantu kita?”
Nur Laili terdiam, terpegun dengan
pertanyaan si anak kecil yang dimatangkan dengan kesusahan hidup, kengerian
peperangan,melarat tanpa insan bergelar ayah di sisi.
“Mereka bantu sayang, mereka beri
duit, makanan..”
“Tapi umi, Khalid nak senjata!
Khalid nak lawan tentera-tentera yang zalim tu!” Nur Laili tersentak sekali
lagi.
“Umi...” Perlahan, Khalid memanggil.
“Ya sayang...”
“Adakah mereka mendoakan kita?”
“Siapa?”
“Semua orang Islam. Orang Islam
semua bersaudara, kan umi?” Nur Laili terdiam.
Kepetahan Khalid membuatkan jiwanya
bergelora. Ya Allah, adakah kami berada dalam ingatan saudara-saudara kami yang
sedang hidup dalam kesenangan sekarang?
“Umi...” Khalid memanggil lagi.
“Ya...”
“Tidak malukah mereka apabila ditanya di
Padang Mahsyar nanti apa yang mereka telah lakukan untuk saudara mereka yang
berada dalam kesusahan seperti kita?”
“Siapa?”
“Semua orang Islam. Orang Islam semua
bersaudara, kan umi?”
Nur Laili diam.
“Umi..”
“Ya nak..”
“Apa yang telah mereka lakukan untuk kita?”
Khalid yang selesa berada dalam
pelukan seorang wanita bergelar umi menggenggam erat tangan wanita solehah itu.
“Siapa?”
“Semua orang Islam. Orang Islam semua
bersaudara, kan umi?” Ayat yang sama diulang-ulang oleh anak kecil itu.
Mata Nur Laili mula digenangi air.
“Umi tidak tahu sayang...” Oh
Allah... Masihkah kami layak bergelar saudara. Nur Laili berbicara dengan
hatinya.
“Umi...”
“Ya sayang...”
Nur Laili mengucup penuh kasih dahi
anak kecil itu. Khalid tidak seharusnya merasai suasana seperti ini, terlalu
kejam buat dirinya.
“Umi... Abi pernah kata kalau
perang, seharusnya mereka berperang dengan tentera sahaja, bukan orang awam
macam kita. Betulkah umi?”
“Ya sayang..”
“Jadi mengapa kita digelar pengganas
umi?”
Nur Laili tidak mampu lagi menahan
air matanya daripada tumpah. Setitik demi setitik, dia tidak tahu mengapa
mereka digelar pengganas. Mungkinkah faktor media massa atau apa? Itu semua dia
tidak kisah tapi mengapa ada juga segelintir umat Islam yang mengatakan mereka
pengganas? Tidakkah mereka tahu keadaan saudara mereka ketika ini.
“Kenapa umi menangis?”
Khalid yang merasa titisan air mata
jatuh ke atas kepalanya lantas bangun dan mengelap air mata itu.
“Umi, di padang Mahsyar nanti, air mata
ini bakal menjadi saksi buat saudara-saudara kita yang diam, membisu tanpa
memberi bantuan,kan umi?”
Nur Laili angguk.
Pom!
Ledakan peluru itu tepat mengenai
dada Nur Laili. Khalid terperanjat. Ini merupakan kali kedua insan
kesayangannya rebah di hadapan matanya. Khalid menangis. Tangannya yang kecil
menggoncang-goncang tubuh Nur Laili yang kaku. Sekejap sahaja, tangannya merah
dibasahi darah umi tercinta.
“Umi, siapa lagi yang akan menerangi
malam Khalid...”
Tentera-tentera kejam itu mara
menghampiri Khalid. Senapang diacukan ke kepala kanak-kanak kecil itu. Khalid
memandang dengan perasaan amarah kerana maruah dia dan keluarganya telah
dirobek-robek. Dia tidak lagi gentar. Batu di sebelahnya di genggam kemas,
dan..
“Aku mahu jadi seperti Khalid Al-Walid.
Allahu akbar!!”
Khalid bangun dan melontar batu itu
ke arah tentera yang hampir dengannya. Serentak dengan itu juga bunyi ledakan
peluru kedengaran lagi,tepat menembusi kepala Khalid.Khalid rebah di samping
uminya.
“Umi.... Kita dapat jumpa abi dan abang-abang
nanti...”
No comments:
Post a Comment