Mencari sesuatu?

Thursday 5 September 2013

Masih Ada yang Sayang

Assalamualaikum...


Kisah Firaun, pembesar Mesir yang zalim suatu ketika dahulu...

Pada suatu ketika dahulu, Firaun menguasai Mesir. Firaun menentang anak angkatnya Musa a.s. yang diambil Asiah ketika Musa a.s. dihanyutkan ibunya di Sungai Nil setelah diilhamkan oleh Allah swt. Penentangan Firaun terhadap Musa a.s. berlaku tatkala anak angkatnya itu pulang datang membawa ajaran Allah swt.

Ketenangan Nil, sungai penuh sejarah..
   Firaun memilih tidak mengimani apa yang telah disampaikan oleh Musa a.s. Firaun memilih untuk berkelakuan bongkak, menentang dan mahu menghapuskan Nabi Allah Musa a.s.
     Firaun merasakan dirinya adalah Tuhan. Dia yang memberikan nikmat. Dia yang mengawal segala-galanya diketika itu. Ditambah pula dengan
kesuburan Mesir yang hebat kerana wujudnya Sungai Nil, bersama tamadun dan teknologi yang tinggi seperti Piramid. Justeru, Firaun semakin lemas dalam kekuasaannya. Lihatlah betapa Firaun cintakan kekuasaannya sehingga apabila dihadirkan mimpi yang menyatakan akan datang seorang bayi daripada kaum Bani Israel mampu menumbangkannya. Sehinggakan dia berasa amat takut lalu memerintahkan agar membunuh semua bayi daripada kalangan Bani Israel. Kejam dan zalim kan Firaun? Itu belum lagi dikira penindasan demi penindasan yang dilakukan terhadap kaum Bani Israel, yang menjadi hamba abdinya diketika itu. Allahu...
      Namun dengan segala kekejaman dan kezalimannya itu Allah swt masih lagi memberi peluang kepadanya untuk kembali bertaubat dan memohon ampun kepada Allah swt. Luasnya RAHMAT Allah berbanding kemurkaan-Nya. Subhanallah..
       Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hatta, kepada Firaun Dia masih memberikan peluang. Diutusnya Nabi Musa bersama Nabi Harun bagi mengajak Firaun kembali ke jalan Allah. Apa reaksi Firaun selepas diberikan kasih sayang yang tinggi ini? Firman Allah swt dalam surah Toha, ayat 56-58 yang bermaksud :
" Demi sesungguhnya, kami tunjukkan kepada Firaun segala tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami. Pada ketika itu, dia mendustakannya dan enggan beriman. Firaun berkata, 'Patutkah engkau datang kepada kami bagi mengeluarkan kami daripada negeri kami dengan sihirmu wahai Musa? Sekiranya demikian, sesungguhnya kami juga bawakan kepadamu sihir bagi melawanmu. Tentukan tempoh pertemuan antara kami denganmu. Kita bersama tidak memungkirinya di suatu tempat yang sesuai untuk kedua-dua belah pihak'."
Demikianlah Allah rakamkan tentang kebongkakan dan kesombongan Firaun dalam kitab suci al-Quran al-Kareem, sedang Allah menunjukkan kasih sayang-Nya. Allah telah memberikan peluang kepada seorang hamba yang bergelar Firaun ini, tapi kesombongan dan keangkuhan mengatasi segalanya. Setelah penolakan Firaun itu, tidak pula Allah terus menyiksanya. Bahka, masih lagi berlaku beberpa kisah.
     Allah rakamkan dalam al-Quran bahawa Firaun terus mencabar dan mencabar setelah di perlihatkan tentang kekuasaan Allah kepadanya. Sehinggalah Allah menurunkan bala kepada mereka sebagai suatu peringatan. Allah menurunkan bala dengan menghantarkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak, dan darah sebagai tanda dan bukti buat peringatan kepada mereka yang sombong. Dengan kedatangan bala yang telah Allah turunkan itu, Firaun dan konco-konconya menjadi ketakutan dan kerisauan. Lantas, mereka meminta supaya azab ini diangkat. Jika azab itu diangkat, maka mereka akan pasti beriman kepada Tuhan Musa dan Harun, Allah swt.

Piramid, kebanggaan kerajaan Firaun.
      Setelah azab itu dihapuskan daripada mereka, sehingga tiba pada suatu waktu Firaun dan konco-konconya mencabuli janjinya kepada Allah swt. Mereka tidak lagi beriman kepada Allah, Tuhan sekalian makhluk didunia. Subhanallah, lihatlah betapa kesombongan Firaun melampaui batas sehingga sanggup mempermainkan kuasa Allah, Penciptanya. Nauzubillah.. (Boleh rujuk surah al-A'raf, ayat 132-135. Ayat ini mengisahkan tenatng Firaun mencabuli janjinya kepada Allah swt.)

Saya tamatkan siri kisah kasihnya Allah kepada hambanya yang bergelar Firaun ini sampai disini. Meski kisahnya masih lagi berbaki sehinggalah tiba pada satu masa Allah binasakan Firaun bersama para pengikutnya ke dalam laut yang terbelah dan menelan Firaun dan semua pengikutnya setelah mereka diberi banyak jalan dan ruang agar mengimani agama Allah yang dibawa oleh Nabi Allah Musa dan Harun A.S. 

Betapa Allah sangat sayang dan kasih pada hamba-hambaNya.. Justeru usahlah sekali-kali kita berputus asa dengan Rahmat-Nya. Sesungguhnya Rahmat Allah itu sangat luas~ Allahu Allah.. 



Sedikit kelainan untuk permulaan entry saya yang satu ini. Saya buka entry dengan membawakan satu kisah buat renungan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian. Kisah yang mana berkenaan dengan seorang yang bergelar Firaun, pemerintah kerajaan Mesir yang zalim suatu ketika dahulu. Semoga dengan perkongsian sedikit sebanyak memebri manfaat kepada kita. InsyaAllah.. :)    

Begitulah sedikit sebanyak kisah seorang hamba yang bergelar Firaun yang sombong dan bogkak. Namun, dengan kesombongannya itu masih ada kasih sayang Allah kepadanya agar bertaubat dan kembali semula kejalan Allah swt. Kisah-kisah yang saya ceritakan diatas berlaku sebelum pengakhiran hayat Firaun setelah ditenggelamkan oleh Allah ke dalam laut yang terbelah seperti yang kita semua tahu.(rasanya semua pernah dengar ustazah kat sekolah ceritakan..hehe ^_^)

Jadi, apa yang paling penting tentang matlamat utama saya cuba sampaikan kepada sahabat-sahabat di secerah nurRahman yang sememangnya sentiasa dicinta dan dikasihi Allah ini adalah mengenai kasih sayang Allah yang sentiasa wujud walau apa pun keadaan seseorang hamba-Nya itu. Biarpun kadang-kadang kita terlupa dan terleka, sekali gus tergelincir sedikit dari jalan Allah. Jangan bersedih, rahmat Allah sentiasa ada untuk kita. Bertaubat dan kembalilah semula kejalan Allah selagi pintu taubat masih lagi terbuka untuk kita.

Jika hamba seperti Firaun masih layak menerima kasih sayang Allah diketika hayatnya, tidak mustahil untuk kita juga sebagai seorang hamba Allah yang sememangnya lemah dalam pelbagai aspek kehidupan. Saya yakin dan pasti, sahabat secerah nurRahman pastinya tidaklah se'teruk' sepertimana Firaun yang telah Allah gambarkan dalam al-Quran. Justeru, gembira dan bersyukurlah, kerna kita semua punya Tuan yang sangat Pengasih dan Penyayang. Alhamdulillah... Wallahu a'lam. :)


UJIAN dari Tuhan bukan lambang kebencian;
Sebaliknya memaknakan kecintaan;
Gambaran sayang Pencipta terhadap insan;
Insan yang bergelar hamba serba kekurangan;
Hamba yang penuh dengan kelemahan;
Kadang tenggelam dalam kealpaan;
Sentiasa dahagakan petunjuk dan pertolongan;
Seringnya mengharap rahmat dan keampunan;
Semoga hidup kita beroleh keredhaan yang berpanjangan..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Kepada Rakan