Mencari sesuatu?

Friday, 24 February 2012

'HASAD DENGKI' Harus selalu diawasi, Jangan dibiar ia menguasai diri.


"Janganlah kamu dengki mendengki. Jangan kamu putus memutus hubungan, janganlah kamu jauh menjauhi hati, janganlah kamu benci membenci; hendaklah kamu semua wahai hamba Allah hidup bersaudara dan haram bagi seorang Muslim itu menjadi saudaranya tidak bercakap selama tiga hari."
(Hadis riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim)



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ku panjatkan ke hadrat yang Maha Pencipta kerana dengan keizinan-Nya sekali lagi diri yang lemah dan hina ini diberi peluang dan idea untuk terus mencoretkan info-info islami untuk dijadikan bahan bacaan bagi sahabat-sahabat didalam blog yang serba indah dan kaya dengan pelbagai ilmu ini. Semoga bermanfaat dan mendapat REDHA dari ALLAH s.w.t. insyaAllah... =)

InsyaAllah, dalam entry kali ni saya akan kembali menyentuh berkenaan dengan 'perasaan'. Setiap manusia yang normal pasti akan mempunyai perasaan, ini kerna ALLAH s.w.t. telah menciptakan manusia diatas muka bumi ini dengan berfitrah, antara fitrah bagi manusia ialah mereka mempunyai perasaan yang pelbagai.

Perasaan yang ingin saya bicarakan dalam entry kali ini ialah berkenaan tentang perasaan 'hasad dengki'.

Secara tidak langsung perasaan ini muncul ke dalam diri disebabkan rasa cemburu atau tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain berbanding diri sendiri. Perasaan hasad dengki sukar dihapuskan dalam jiwa kerana ia lahir di hati kecil tanpa pengetahuan orang lain. Ia bermula daripada perasan cemburu hingga merebak dan berkembang menjadi perasaan tidak tenang. Akibatnya, seseorang yang dihinggapi perasaan ini akan sedaya upaya memenuhi kehendak hati yang semakin menekan jiwa jika tidak mampu mengawalnya dengan baik.


Sesungguhnya masalah hasad dengki menjadi punca fitnah besar yang merosakkan perhubungan hidup bermasyarakat sejak manusia mula bertapak di bumi. Perasaan dengki bermula dari anak Nabi Adam, Habil dan Qabil, hasil hasutan iblis.


Perasaan hasad dengki yang wujud dalam kalangan umat manusia sekali gus secara tidak langsung membawa kepada gejala buruk yang akan menghancurkan perpaduan ummah yang telah sekian lama terbina. Oleh kerana itu, agama Islam amat membenci mereka yang mempunyai hasad dengki didalam jiwa-jiwa mereka.

Seharusnya kita mengetahui bahawa sesungguhnya setiap kelebihan atau keistimewaan yang diperoleh seseorang adalah semestinya hasil dari kurniaan Allah yang Maha Pemurah kepada mereka yang dikehendaki-Nya. Firman Allah yang bermaksud:
"Apakah mereka mendendami manusia disebabkan suatu kelebihan yang Allah berikan kepada mereka?"
(Surah an-Nisa', ayat 54)

Setiap perkara bertujuan baik akan musnah dan hancur jika perasaan dengki ini muncul di dalam hati. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Jauhkanlah diri kamu daripada dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan sebagaimana api memakan kayu."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya dengki mendengki dan benci membenci sesama sendiri tidak sedikit pun memberi faedah atau keuntungan bahkan merugikan. Oleh itu, kita sebagai umat Islam seharusnya sekeras-kerasnya menolak perasaan ini agar tidak hadir dan terus membarah didalam hati kita. Harus diingat bahawa syaitan akan sentiasa ketawa gembira jika melihat umat Islam hidup didalam perpecahan.

Satu car yang boleh saya kongsikan untuk mengelakkan perasaan ini dari membarah dan memakan diri kita ialah dengan kita hendaklah sentiasa BERSYUKUR dengan segala kurniaan yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita.

Allah telah menciptakan ummat manusia dengan pelbagai kelebihan. Masing-masing punya kelebihan yang ada kalanya tidak dimiliki oleh sebahagian yang lain. Mengapa ini terjadi?? Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan manusia ini saling lengkap melengkapi. Kerana kita semuanya memerlukan antara satu sama lain.

Jika kawan kita pemarah, ada yang boleh sabarkannnya, jika kita pemboros, ada yang boleh mengawalnya, jika kita pemalas, ada yang akan menegur supaya jadi rajin. Jika kita tidak tahu, ada yang akan beritahu. Jika kita tahu, kitalah yang kena beritahu yang tak tahu.

Maka kita semua hendaklah saling menghormati kerana tidak seorang pun di kalangan kita boleh hidup sendiri. Kita saling memerlukan. Aku memerlukan kamu, dan kamu memerlukan aku.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kongsi Kepada Rakan